Dr.Atiqah

Penulisan Popular

Adakah STEM Masih Relevan dalam Sistem Pendidikan Malaysia?

Dalam era Revolusi Industri 4.0 dan peralihan kepada ekonomi berasaskan teknologi, STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) sering dianggap sebagai pemacu utama pembangunan negara. Namun, persoalan yang semakin timbul ialah: adakah STEM masih relevan dalam konteks pendidikan Malaysia hari ini, atau sekadar menjadi slogan dasar tanpa impak yang jelas?

Salah satu isu utama ialah penurunan minat pelajar untuk menceburi bidang STEM di peringkat pengajian tinggi. Walaupun pelbagai inisiatif telah dilaksanakan sejak sekian lama, sasaran dasar 60:40 (Sains:Sastera) masih belum tercapai secara konsisten. Fenomena ini menunjukkan bahawa usaha mempromosikan STEM belum berjaya mengubah persepsi dan aspirasi pelajar secara mendalam. Ramai pelajar masih melihat bidang STEM sebagai sukar, kurang menarik, dan tidak relevan dengan kehidupan mereka.

Keadaan ini menjadi lebih kritikal apabila dilihat dalam konteks keperluan negara. Data KPM menunjukkan kadar penyertaan murid menengah atas dalam aliran STEM menurun daripada 45.2% pada 2017 kepada 40.94% pada 2022. Pada masa yang sama, data DOSM merekodkan 67,150 kekosongan pekerjaan berkaitan STEM pada suku keempat 2024, iaitu 24.3% daripada keseluruhan kekosongan pekerjaan. Jurang ini menunjukkan ketidakpadanan yang jelas antara keperluan ekonomi negara dengan keupayaan sistem pendidikan dalam membina dan mengekalkan saluran bakat STEM.

Selain isu penyertaan, cabaran struktur dalam pelaksanaan STEM juga menjadi perhatian. Walaupun pelbagai kementerian seperti KPM, KPT dan MOSTI telah mengambil langkah proaktif melalui penubuhan Jawatankuasa Khas STEM pada tahun 2024 bagi memperkukuh hala tuju secara bersepadu, cabaran fragmentasi masih wujud pada peringkat pelaksanaan. Program STEM melibatkan pelbagai agensi, universiti dan organisasi bukan kerajaan dengan pendekatan yang berbeza. Tanpa kerangka pelaksanaan yang benar-benar selaras serta mekanisme pemantauan yang sistematik, inisiatif STEM berisiko dilaksanakan secara tidak konsisten dan sukar dinilai dari segi keberkesanan sebenar.

Ketidakselarasan ini seterusnya memberi kesan kepada kefahaman tentang STEM itu sendiri. STEM tidak dilaksanakan secara eksklusif oleh satu badan, menyebabkan tafsiran yang pelbagai di peringkat sekolah dan institusi. Ada yang menekankan aktiviti hands-on, ada yang fokus kepada teknologi digital, dan ada juga yang sekadar melabel aktiviti sedia ada sebagai “STEM” tanpa perubahan pedagogi yang sebenar. Akibatnya, wujud kekeliruan dalam kalangan guru dan pelajar tentang apakah sebenarnya STEM dan apakah nilai tambahnya dalam pembelajaran.

Dari sudut pelajar pula, banyak program STEM berjaya meningkatkan minat dan keterlibatan dalam jangka pendek. Aktiviti seperti robotik, eksperimen sains dan projek inovasi sememangnya menarik perhatian pelajar. Namun, cabaran sebenar terletak pada kesinambungan impak tersebut. Bukti jangka panjang yang menunjukkan bahawa pendedahan kepada STEM benar-benar mempengaruhi pilihan aliran, kemasukan ke IPT dan laluan kerjaya masih terhad. Ketiadaan data longitudinal yang kukuh menyukarkan penilaian terhadap keberkesanan sebenar pelaburan dalam program STEM.

Isu ini berkait rapat dengan pembangunan kemahiran STEM di sekolah. Walaupun STEM sering dikaitkan dengan kemahiran abad ke-21 seperti pemikiran kritis, penyelesaian masalah dan kreativiti, pelaksanaannya masih belum konsisten dalam bilik darjah. Pengajaran masih cenderung berorientasikan peperiksaan dan kandungan, berbanding pendekatan inkuiri, penyelesaian masalah sebenar dan pembelajaran berasaskan projek. Justeru, pembangunan kemahiran STEM sering bergantung kepada program tertentu dan belum terintegrasi secara menyeluruh dalam pengalaman pembelajaran murid.

Di peringkat pendidikan tinggi, cabaran ini berterusan dalam bentuk persaingan antara bidang. Statistik KPT 2024 menunjukkan jumlah enrolmen IPT ialah 1,349,090 pelajar, dengan bidang STEM tersebar dalam beberapa kluster seperti Kejuruteraan (208,781), ICT (121,104) dan Sains (62,594). Namun, bidang Perniagaan, Pentadbiran dan Perundangan mencatat 404,865 enrolmen, jauh lebih tinggi. Ini menunjukkan bahawa STEM masih belum menjadi pilihan dominan walaupun kepentingannya semakin meningkat.

Situasi ini disokong lagi oleh data pasaran kerja. Selain 67,150 kekosongan pekerjaan STEM yang direkodkan DOSM, laporan TalentCorp melalui MyMahir Malaysia Critical Occupations List (MyCOL) 2024/2025 mengenal pasti 66 pekerjaan kritikal yang sukar diisi. Ini menegaskan bahawa cabaran utama STEM di Malaysia bukanlah kekurangan peluang, tetapi kekurangan bakat yang memenuhi keperluan industri.

Namun begitu, untuk mengatakan bahawa STEM tidak lagi relevan mungkin terlalu drastik. Sebaliknya, isu sebenar terletak pada cara STEM dilaksanakan dan difahami. STEM kekal relevan dalam menyediakan generasi yang mampu beradaptasi dengan perubahan teknologi dan menangani cabaran global seperti perubahan iklim, tenaga lestari dan pembangunan bandar pintar.

Sehubungan itu, beberapa langkah penambahbaikan perlu dipertimbangkan. Antaranya ialah memperkukuh penyelarasan nasional yang bukan sahaja bersifat dasar, tetapi juga berfungsi pada peringkat pelaksanaan dan penilaian. Selain itu, pembangunan kerangka STEM yang kontekstual kepada Malaysia, pelaksanaan kajian longitudinal, serta pengukuhan latihan guru perlu diberi keutamaan bagi memastikan pelaksanaan STEM lebih bermakna dan berimpak.

Kesimpulannya, STEM masih relevan, tetapi pelaksanaannya perlu ditransformasikan secara menyeluruh. Tanpa perubahan yang signifikan, STEM berisiko menjadi sekadar label tanpa makna. Oleh itu, sudah tiba masanya untuk beralih daripada sekadar melaksanakan STEM kepada memastikan STEM benar-benar memberi impak yang signifikan kepada sistem pendidikan dan masa depan negara.